Thursday, February 24, 2011

cerpen sedih sye.....

salam...
sye telah cipta satu cerpen....dgn tpakse lar jgak.(pdhal asymen..huhuhu) dr halim ckp nk wt cerpen terbaik..pastikan diri sendiri ader lam cter...n bdasarkn pengalaman kte..ni sye nk post satu cerpen sye....(satu jer tau...lebih2 x bleh) tp x sempat editttt lg. sbb kemalasan melanda diri sye...(mmg malas pun)
cerpen ni sye dh ubah ckit2 dr segi watak dan suasana....tp mmg pengalaman sye...

Suatu Kenangan by: PermatahatiSayangku.

Hatinya aku berat ingin meninggalkan keluarga tersayang. Cuti semester selama sebulan amat cepat berlalu. Macam sekelip mata saja. Tapi aku sudah berpuas hati kerana dapat menolong emak membuat kerja rumah. Maklumlah emak kerja untuk meringankan beban ayah yang hanya seorang tukang rumah. Dengan mengambil upah di tempat projek pertanian dapat juga emak membantu ayah. Kami sebagai anak-anak cukup faham. Meminta barang yang sangat-sangat diperlukan sahaja.
“Kak, esok dah nak balik u. Berapa duit yang kakak perlukan”?. Tanya emak selepas aku menyiapkan makan tengah hari. Nampaknya emak letih kerana baru pulang dari kerja. Aku mengambil air sirap yang berada dalam peti sejuk dan menuangkan kepada emak yang telah melabuhkan punggungnya di kerusi.
“Hmm, kakak tak kisah mak. Mak bagi la semampu mak, nanti harap-harap duit pinjaman kakak cepat masuk”. Tegas aku kerana tidak mahu membuat emak bimbang. Mak seakan mengerti akan masalah aku sebagai pelajar. Pada awal semester, selalunya wang pinjaman lambat sedikit dimasukkan ke dalam akaun pelajar. Jadi terpaksalah mak dan ayah menanggung perbelanjaan aku dahulu.
“Nanti esok mak bagi. Mak nak mandi ni, nak segarkan badan dan solat Zohor pula”. Suara emak dan berlalu meninggalkan aku menuju ke bilik air. Aku hanya mengekori dengan pandangan mata sahaja.
“Mak, kakak akan balas jasa mak dengan ayah suatu masa nanti. Kakak tak akan sia-siakan kepercayaan yang mak bagi kat kakak selama ini”. Bisik aku seorang diri dalam hati.
Selepas mengemas dapur, aku masuk ke dalam bilik dan merebahkan diri atas katil. Sekilas fikiran aku melayang-layang. Teringat zaman kanak-kanak, bersama adik-adik di rumah lama dahulu. Masa tu aku ada empat orang adik, tiga orang perempuan dan seorang lelaki. Kenangan bersama arwah Nurul masih segar dalam kotak fikiran aku. Aku juga tahu yang kami sekeluarga tidak akan melupakan dia buat selama-lamanya. Arwah pergi dijemput Allah semasa berumur 16 tahun dan masa tu aku berada dalam tingkatan enam rendah. Dia terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Kak, kalau Uyu tak ada nanti akak sedih tak”? tanya arwah semasa kami sedang membuat kerja sekolah dalam bilik. Aku sangat terkejut dengan pertanyaannya.
“Eh, kenapa tanya soalan yang bukan-bukan ni. Tak baik tau selalu fikir pasal mati je. Uyu kan sihat, tak sakit. Mana boleh mati”. Balas aku yang sedikit sebak dengan persoalannya sebentar tadi.
“Tak la kak, kan semua manusia akan mati. Walaupun tak sakit, orang yang sihat walafiat pun akan mati juga nanti kan?’.Tanyanya lagi. Sambil itu dia mengemas buku-bukunya dan menyimpannya di atas meja tulis.
“Memang la, tapi kita sebagai manusia kena berfikir positif. Dah la akak tak suka Uyu cakap pasal mati. Adik-adik akak akan menjadi dewasa nanti. Uyu, Ema, Firdaus dan Ikah akan lihat akak berjaya suatu hari nanti dan akan nak jadi seorang guru. Lepas tu kita akan sama-sama balas jasa mak dan ayah yang dah banyak berkorban untuk kita”. Luah aku yang ingin mematikan fikiran Uyu yang sekarang asyik cerita pasal kematian saja.
“Ya la akak Uyu yang disayangi. Uyu janji nanti tak cakap lagi pasal tu.” Balas Uyu sambil tersenyum kepada kakak sulungnya.
“Janji tau, nanti akak marah nanti”. Balas aku yang berpura-pura ingin memarahinya. Selepas itu, kami sama-sama keluar menonton televisyen sementara menunggu mata mengantuk. Aku sangat rindu saat-saat itu. Tanpa disedari, air mataku mengalir laju.
“Astargfirullahalazim….”,aku mengeluh panjang. Mungkin aku sangat merindui arwah sehinggakan selalu terbayangkannya. Ya, memang aku sangat merindukannya!. Dengan malas aku mencapai tuala di rak dan berlalu ke bilik air. Dengan hati yang cukup tenang, aku menunaikan solat Zuhur dan memanjatkan seribu kesyukuran kepada Yang Maha Esa.
Petang itu, aku menghabiskan masa mengambil angin belakang rumah. Tumbuhan yang menghijau sungguh memberikan permandangan yang menenangkan jiwa yang melihatnya. Di awan sana, terdapat tompok-tompok kelabu menandakan hari akan hujan nanti. Mungkin juga malam nanti. Aku masih lagi mengelamun seorang diri, bila balik universiti nanti tentu sukar sama sekali hendak mendapat suasana seperti sekarang.
Fikiran aku beralih kepada kenangan lima tahun lepas. Di mana pada masa itu, aku masih lagi tinggal di rumah lama di seberang jalan. Pada masa itu, masa yang sama seperti sekarang aku sedang seronok bermain dengan adik-adikku di hadapan rumah. Masing-masing mempunyai pelbagai gelagat sampaikan ayah aku menegur.
“Kalau dah besar tu, buatla perangai macam orang besar. Jangan berkelakuan macam budak-budak pula”. Sindir ayah ku sambil melemparkan senyuman kepada kami. Ayah baru pulang dari kerja, mak tetap setia menyambut kepulangan ayah. Begitulah perangai ayah, menegur kami secara berkias. Nak berterus terang jauh sama sekali, tidak seperti mak. Dan apa yang ayah cukup pantang bila anak-anaknya salah dalam memilih pakaian dan tidak menutup aurat. Kami sudah cukup masak dengan sikap ayah itu.
“Alaa ayah, kami main nak suka-suka je. Lagipun kakak yang ajar tadi. Ajak Ikah main bola”. Terang adikku yang bongsu sambil melompat.
“Ikut suka kamulah, jangan main kat seberang sana sudah. Kereta motor sibuk sekarang”. Luah ayah yang seakan mengerti ngomelan Ikah tadi. Rumah kami memang berdekatan dengan jalan raya. Pada waktu petang macam ni kenderaan bertali arus. Masing-masing sudah habis kerja dan ingin pulang ke rumah dan beristirehat bersama keluarga.
“Baik ayah”. Jawab kami serentak.
“Kuat mengelamun anak ayah ni, kakak fikir pasal apa”? tanya ayah yang tiba-tiba je datang. Sekali gus mematikan lamunan aku yang melayang entah ke mana sebentar tadi. Aku lihat ayah sudah selesai mandi dan berkopiah. Sudah tentu ayah dah sembahyang asar.
“Akak fikir pasal adik-adik yah, akak nak kenangan lama jadi balik. Macam dulu-dulu. Ayah faham kan maksud akak?”. Keluh aku kepada ayah. Aku sebenarnya tahu yang ayah memahami maksud aku tadi. Ayah mendekati aku.
“Akak, benda yang dah lepas tu tak akan kembali lagi. Ayah faham, akak mesti rindukan arwah Nurul kan?, kita semua rindukan dia akak. Akak kena ingat, dia dah terlepas kehidupan dunia, semua kepentingan kat dunia ni dah ditinggalkannya. Tapi kita yang masih hidup ni banyak lagi tanggungjawab”. Terang ayah kepada aku yang dah dilanda pilu. Sambil tu ayah mengusap rambutku. Aku tau ayah juga sedih, begitu juga aku.
“Ya ayah, kita kena teruskan hidup ni”. Jawabku ringkas.
“Ayah nak ke mana ni?’ tanya ku lagi.
“Ayah nak ke kedai, minum kopi. Akak nak pesan apa-apa tak?”. Jawab ayah. Aku hanya menggelengkan kepala sebagai tanda tiada barang yang ingin dipesan. Aku dah masak dengan perangai ayah, petang-petang macam ni dia akan ke kedai kopi depan madrasah kampung kami. Kat sana ayah akan bersembang bersama kawan-kawannya. Terutamanya pasal politik dan hal kampung kami.
“Dah, jangan mengelamun lagi. Anak dara tak elok mengelamun petang-petang macam ni. Nanti tak ada orang nak masuk pinang anak ayah ni”. Gurau ayah yang sedikit sebanyak menyenangkan kembali hati aku yang telah sayu tadi.
“Baiklah ayah, akak nak masuk ke dalam dah. Ayah bawa motor hati-hati” balas aku sambil bangun. Sambil tu, sempat lagi aku melihat ayah membawa motosikal kesayangannya. Bila bayangan ayah hilang di selekoh rumah kami, aku pun masuk ke dalam rumah. Sementara menunggu waktu Maghrib, aku menyiapkan kerja-kerja di dapur, memasak nasi dan menyiapkan makan malam untuk kami sekeluarga nanti. Dengan melakukan kerja tersebut, dapat juga aku meringankan beban emak yang kadang-kadang bekerja.
Malam itu, aku hanya menghabiskan masa di dalam bilik sahaja dengan menghadap laptop dengan pandangan yang kosong. Aku hanya memainkan lagu-lagu kegemaranku dan jauh ingatanku melayang kepada peristiwa lima tahun yang lalu. Masa tu aku berada dalam tingkatan enam bawah dan adik-adikku semuanya sedang bersiap untuk ke sekolah. Dalam keadaan pagi yang agak sibuk, aku hanya memerhatikan telatah mereka. Adik aku yang bongsu paling awal bangun pada waktu pagi. Emak sedang sibuk menyiapkan sarapan untuk anak-anaknya. Sedang aku menyikat rambut, datang adikku Nuyu.
“Kak, ada seluar sukan tak?, yang Uyu punya basah lagi”. Tanya adik aku sambil memegang seluarnya yang belum kering lagi.
“Tak de la Yu, akak punya pun dalam baldi. Kelmarin akak lupa nak jemur”. Balas aku padanya dalam nada yang agak kecewa kerana tidak dapat membantu adik sendiri. Selepas rambut diikat kemas, aku menyarung tudung sekolah.
“Oh ya kak, Uyu lupalah. Minggu lepas kan Uyu ada beli seluar baru, Uyu pakai seluar tu la”. Suara Nuyu sambil beredar meninggalkan aku yang separuh terkejut. Aku hanya dapat memerhatikan gelagatnya sahaja. Kelihatan adik-adik aku yang lain telah siap sarapan dan mereka telah membawa haluan masing-masing. Adik aku yang bongsu belajar di tadika, yang lelaki di sekolah rendah dan Nuyu dan Ema di sekolah menengah tetapi sekolah mereka berlainan. Nuyu pergi ke sekolah menggunakan motosikal, sementara Ema lebih senang menaiki bas bersama kawan-kawannya. Begitu juga dengan aku, namun aku pergi dengan teman sekelas.
Ketika aku selesai sarapan, aku dapat dengar bunyi enjin motosikal Nuyu. Itu bermakna dia telah pergi ke sekolah. Lega sedikit perasaan aku bila mana dia dapat memakai seluar barunya. Entah kenapa perasaan itu tiba-tiba datang. “Ahhhh…itu hanya perasaan aku semata-mata”. Bisik aku dalam hati.
“Mak, akak pergi dulu ya. Asma dah sampai tu”. Ucap aku kepada emak yang masih di dapur. Emak kelihatan tergesa-gesa keluar  dan aku mengucup tangan emak.
“Akak hati-hati”. Pesan emak ringkas.
“Insya Allah mak”. Balas aku sambil tersenyum.
                                    ****************************************
Waktu persekolahan pada hari tersebut berjalan amat pantas sekali. Selepas mengemas buku-buku, aku menggalas beg dan berjalan seiringan dengan Asma. Sudah menjadi kebiasaan kami akan ke sekolah dan pulang bersama-sama. Ini kerana Asma meminta aku menemaninya menaiki motosikal. Perjalanan pada waktu puncak sangatlah sibuk. Kereta dan motosikal di jalan raya sambil berlumba untuk sampai ke destinasi masing-masing. Asma memandu motosikal amat cermat sekali. Selepas melepasi selekoh, dari jarak yang agak jauh aku dapat melihat orang ramai sedang berkumpul di hadapan. Terdetik rasa hairan dalam fikiran aku.
“Ma, ada apa kat depan tu?”. Tanya aku kepada Asma yang khusyuk memandu.
“Entahlah, aku pun tak tau. Ada sekatan polis kot”. Jawab Asma seakan-akan mengagak sahaja.
Dengar sahaja perkataan polis, terbit perasaan bimbang dalam diri kami berdua. Ini kerana pada awal persekolahan dulu, Asma dan aku telah disaman kerana kedua-duanya memandu tanpa lesen. Namun demikian, Asma tetap memandu seolah-olah tidak gentar akan risiko yang akan dihadapinya nanti. Sesampai sahaja di tempat tadi, segala persoalan terjawab kerana terdapat satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta dan motosikal. Kami tidak berhenti malah memperlahankan kenderaan sahaja.
“Astaghfirullahalazim..adik aku Ma”. Jerit aku apabila melihat motosikal yang tersadai di tengah jalan adalah motosikal yang ditunggangi oleh Nuyu ke sekolah pada pagi itu. Keadaan motosikal itu dapat memberi bayangan kepada aku akan keadaan adik aku.
“Ya Allah, perasaan aku hanyalah karut semata-mata”.Bisik aku dalam hati.
Sekilas aku terpandang Mak Usu aku yang berada di tempat kemalangan. Dari riak wajahnya, aku seolah-olah mendapat ramalan yang tidak baik. Adikku telah dibawa ke hospital sebentar tadi. Tempat kemalangan menjadi tumpuan pengguna jalan raya, masing-masing berhenti dan bertanyakan punca kemalangan dan keadaan mangsa. Dalam pada itu, aku terpandang sebuah kereta Honda Civic yang rosak teruk di tepi jalan. Bahagian hadapan rosak teruk, manakala sepasang tayarnya pecah.
“Da, aku harap adik kau baik-baik saja. Jangan risau tau, banyakkan berdoa”. Luah Asma selepas aku  turun dari motosikalnya. Aku hanya dapat membalas dengan senyuman tawar. Tanpa apa-apa makna. Aku masuk ke rumah, kelihatan ayah terburu-buru mencapai topi keledar. Aku dapat mengagak yang ayah akan ke tempat kemalangan ataupun mengikuti adik ke hospital. Mak hanya duduk tanpa sebarang kata. Aku faham yang mak terkejut dan dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang terjadi. Begitu juga dengan perasaan aku. Tanpa sebarang kata, aku hanya membisu seribu bahasa.
“Kak, mak nak ke hospital ni. Akak jaga rumah dan tengokkan adik ya”. Laung mak kepada aku yang masih dalam bilik air.
“Ya mak”. Balasku ringkas.
Usai sembahnyang Zohor, aku dapat mendengar keriuhan suara jiran terdekat yang datang ke rumah untuk bertanyakan keadaan adik aku. Aku hanya memekakkan telinga. Tanpa berlengah lagi, aku mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah agar menyelamatkan adik aku. KepadaNya sekarang tempat aku mengadu dan bergantung harap yang kemungkinannya tidak akan termakbul. Di saat aku menghinakan diri kepada Yang Maha Esa, aku dapat mendengar suara seorang lelaki.
“Dia tak dapat diselamatkan, cedera kat kepalanya serius dan hampir pecah”. Kata lelaki tersebut. Hanya linangan air mata sahaja yang mengalir pada ketika itu. Namun, aku terlalu ego sehinggakan tidak mahu keputusan itu dan masih berharap agar adik aku selamat. Aku akan tunggu berita itu disampaikan oleh mak dan ayah sendiri.
Namun, segalanya musnah. Harapan aku punah, duniaku seakan gelap selamanya. Dengan takdir dan kehendak Illahi, adik aku tetap dijemput Allah dalam usia yang agak muda. Semua ahli keluarga terdekat dihubungi. Betapa hibanya perasaan aku bila mana melihat mak yang pulang daripada hospital hanya membawa beg dan kasut sekolah kepunyaan adik aku. Tetapi aku cukup bersyukur kepada Allah yang satu kerana memberi kekuatan yang sangat tegar kepada kami sekeluarga. Dari riak tenang yang terpancar di wajah mak dan ayah turut sama membuatkan hati dan jiwa aku menjadi tabah. Adik aku yang bongsu aku peluk seerat mungkin semasa melihat van jenazah tiba di perkarangan rumah kami.
“Kak, sabar ye. Walaupun kita sedih kehilangan Nuyu, tapi Allah lebih sayangkan dia”. Pujuk emak selepas melihat aku mengesat air mata setelah melihat sekujur tubuh yang dibalut dengan plastik hitam. Memang itu sudah menjadi prosedur polis, sesiapa yang meninggal akibat kemalangan jalan raya akan dibalut dengan plastik hitam. Aku tidak setabah dan sekuat mak dan ayah. Air mata aku masih lagi membasahi pipi dan menambahkan lagi bengkak di mata. Aku nak luahkan apa yang terpendam agar semuanya reda dan tenang.
“Betul kata mak tu kak, Nuyu adalah milik Allah. Ayah dan mak hanya diamanahkan untuk menjaganya untuk seketika sahaja. Sekarang Allah dah ambil balik kepunyaanNya untuk selama-lamanya.” Balas ayah apabila melihat aku teresak-esak menangis. Kata-kata ayah sedikit sebanyak telah menguatkan aku. Orang kampung ada yang menangis dan ada juga yang hanya bersembang sesama mereka. Aku hanya memandang mereka dengan pandangan yang amat kosong. Kosong!.
Aku menggagahkan diri untuk ke ruang tamu. Sekujur tubuh itu adalah insan kesayangan aku. Aku cuba kuatkan hati dan menahan perasaan sedih itu kerana aku akan mendoakan arwah dengan bacaan Yaasin. Aku duduk di sisi jenazah arwah yang sudah dikafankan dan memulakan bacaan ayat suci Al-Quran sebaris demi sebaris. Allah maha besar, Dia berikan aku kekuatan sehinggalah arwah selamat dikebumikan.
                                    *****************************************
“Kak, tak nak makan ke? Adik-adik tengah tunggu ni. Ayah pun ada sama”. Panggil mak sambil mengetuk pintu bilik aku. Tiba-tiba fikiran aku kembali ke alam sekarang. Bukan lagi ingatan pada masa berlalu.
“Kejap mak, akak datang ni”. Balasku ringkas. Kalau ikutkan memang aku tak nak makan malam tapi tidak sampai hati menghampakan mak kerana dia sudah masak masakan kegemaran aku.
“Wah, bestnya bau asam pedas ikan merah!. Tak sabar nak makan”. Luahku apabila hampir ke meja makan. Aku mengambil tempat di tepi adikku yang bongsu.
“Mak ingatkan akak tak nak makan”. Ucap mak sambil mencedok nasi ke pinggan ayah dan adik-adik. Di bibirnya terukir senyuman yang indah sekali. Senyuman itulah yang membuatkan hati aku lapang bila ada masalah sama ada masalah pelajaran ataupun hal-hal peribadi.
“Akak tu mengelamun lebih mak, sebab tu tak nak makan”. Balas adikku yang bongsu.
“Mana boleh akak tak makan, ni lauk kegemaran akak tau. Kalau kat sana, akak kempunan nak makan macam ni tau dik”. Luah ku sambil mengusap rambut adikku yang lembut itu. Selepas itu aku dan keluarga makan dengan berselera sekali. Mak memang pandai memasak, cakap la apa-apa sahaja masakan, pasti mak akan buatkan untuk kami sekeluarga. Selepas semuanya selesai makan, aku menolong mak mengemas dapur. Adik-adik sedang membuat kerja sekolah melainkan yang bongsu sudah pun tertidur di ruang tamu.
“Ayah, akak nak tanya boleh?” tanya ku kepada ayah yang sedang kusyuk membaca surat khabar. Mak pula sedang melipat kain di tepi ayah.
“Lain je bunyi kak. Akak nak tanya apa?, kalau ayah boleh jawab ayah akan jawab”. Balas ayah sambil memandang kepadaku.
“Ayah, betul ke orang kampung cerita Ramli Susu dah mati?” tanya ku kepada ayah. Sambil menolong emak melipat baju, aku menanti jawapan daripada ayah.
“Betul akak, dia meninggal sebab kemalangan bulan lepas. Betul-betul dihadapan rumahnya. Ada orang cakap dia memandu sambil mabuk. Tapi ayah tak tau jugak. Hanya Allah yang tau semua tu”. Terang ayah dengan lebar.
“Mak dengar orang cakap-cakap kat kebun pun macam tu jugak. Arwah mabuk teruk malam tu”. Tambah mak untuk meyakinkan aku.
“Padan muka dia kan ayah. Dulu dia tak mengaku dia yang melanggar arwah Nuyu. Mentang-mentangla dia ada hubungan dengan polis, senang je dia lepas. Sekarang dia dah terima balasan Allah. Padan muka dia mak”. Luah aku dalam nada yang geram.
“Kak, jangan cakap macam tu. Itu semua ketentuan Allah, kita hanya menerima sahaja takdirNya. Kita manusia biasa, tidak baik berdendam, tambahan pula dia dah meninggal dunia”. Nasihat emak yang seakan-akan tidak setuju dengan kata-kata aku tadi. Aku hanya mampu terdiam. Memang aku tak nafikan aku tak sepatutnya marah kepada takdir Allah.
“Betul cakap mak tu kak. Dia dah terima balasan Allah, namun kita tak boleh menyalahkan ia. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu”. Tambah ayah yang menyokong tindakan emak tadi. Mak dan ayah memandang tepat kepada aku yang sedang dalam dilemma.
“Mak, ayah…akak minta maaf. Akak tak maksudkan nak salahkan takdir. Tapi akak jadi marah sangat”. Terang aku sambil mengucup tangan mak dan ayah. Adik-adik yang leka menonton televisyen pun terkedu dengan tindakan aku.
“Tak apa kak, mak dan ayah faham perasaan akak”. Pujuk mak apabila melihat aku seakan-akan ingin menangis.
                                                *********************************
Pagi Jumaat, aku bangun awal sedikit. Selepas selesai solat Subuh aku akan ikut ayah ke kubur arwah Nuyu dan nenek dan datuk di kampung sebelah. Esok aku akan kembali meneruskan pengajian di universiti. Sudah menjadi kebiasaan aku akan melawat ‘rumah arwah’ untuk mengucapkan selamat tinggal. Tambahan pula, sudah menjadi kewajipan ayah untuk datang menziarahi kubur tersebut selama dua minggu sekali. Mak dan ayah tak mahu, kuburnya tidak terjaga dan dipenuhi rumput. Oleh sebab itu, ayah akan mencabut rumput yang tumbuh di atas kubur arwah. Masa pagi jumaat ayah akan dihabiskan di kubur anak yang mempunyai wajah irasnya itu.
“Akak, ni air. Nanti siram atas kubur”. Pinta mak sambil menghulurkan satu balang air kepada ku. Aku mengambilnya dan memasukkan dalam raga motosikal ayah.
Sesampai di tanah perkuburan, suasana hening pagi dan kicauan burung yang ingin keluar mencari rezeki seolah-olah menyambut kedatangan kami ke tempat suci itu. Kelihatan beberapa orang sudah ada di sana. Masing-masing membuat hal sendiri. Ada yang sedang membersihkan kawasan kubur, membaca Al-Quran dan sebagainya. Dari jauh aku dapat melihat batu nesan yang berwarna putih. Ya, itu kepunyaan arwah adik aku!. Bisik aku dalam hati. Aku mengekori langkah ayah perlahan-lahan.
“Kak, nanti letakkan kertas buat lapik. Nanti basah baju tu kena embun rumput”.Suruh ayah kepadaku. Kami pun memulakan bacaan dengan melafazkan puji-pujian kepada Allah swt dan Rasulullah SAW. Sambil membaca ayat-ayat suci, aku dapat merasai suasana tenang di kawasan itu. Mungkin arwah Nuyu dan datuk nenek aku akan merasainya apabila kami mensedekahkan kalimah Al-Quran kepada mereka. Bunga-bunga melor yang mekar itu mengeluarkan bau yang sangat wangi. Usai membaca Al-Quran, aku dan ayah sama-sama mencabut rumput supaya kawasan kuburnya tidak ditumbuhi semak samun. Sesekali bertandang ke pusaranya, perasaan sedih itu pasti akan datang walaupun arwah dah bertahun meninggalkan kami sekeluarga.
“Akak, jom kita balik. Insya Allah dua minggu lagi ayah akan datang dengan mak pulak”. Suara ayah yang mengerti akan perasaan aku yang berat untuk melangkah keluar dari tanah perkuburan itu. Memang terasa sayang untuk berpisah dengan arwah, walaupun aku tahu dia sudah tiada. Apabila aku ke kuburnya, aku dapat rasakan yang aku berada dekat dengan arwah.
“Walaupun akak jauh nanti, akak boleh doakan kesejahteraan rohnya”. Tambah ayah kepadaku sambil mengambil balang kaca di tepi kuburan itu. Aku hanya menganguk sambil bangun dan melangkah perlahan-lahan. Dengan pandangan yang sayu, aku masih memandang ‘rumah’ arwah itu. “ Selamat tinggal adikku”. Bisikku perlahan-lahan sambil mengesat air mata yang mengalir. 

wassalam..

5 comments:

  1. **sob..sob**=(
    sedihnya....nnti sma2 la kita bls jasa mak ayah yep~

    yg pergi tetap pergi...apa2 pun, time2 teringat tu sdekah kn la alfatihah kat arwah..insyaAllah, org kate kita akn rasa dekat dgn arwah..=))

    lepas nie bleh terbit nie cerpen..hihi~

    ReplyDelete
  2. Sape soh post kat sini..
    Kan aku dah nangis..
    Ishk3!!

    Sabo ya aida.. Al-Fatihah..

    ReplyDelete
  3. thanks eda..ekin.
    huhuhu..aku nk ciapkn cerpen ni punye la lame..
    jge emosi dan perasaan
    akhirnye dpt gak aku ciapkn...
    cerpen aku bjaye wt korg sedih...
    mmg sedih pun....

    ReplyDelete
  4. Saudari,
    Saya sedang mencari penulis, berminat menerbitkan buku?
    Bagaimana boleh saya hubungi saudari? Mohon e-mel kepada saya di zarinahoasis@gmail.com untuk berbincang lebih lanjut. Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. zarinahoasis@gmail.com..
    saya minta maaf di atas kelewatan saya membalas mesej saudari berikutan kekangan masa yang tidak mengizinkan.kita boleh berhubungan dengan FB sayahttp://www.facebook.com/nor.aidaz.sekian terima kasih.saya pun akan cuba email saudari.

    ReplyDelete