Sunday, October 24, 2010

1 MALAYSIA SEJUTA PUISI 22-24 OKTOBER 2010

PNM cipta rekod baca rangkap puisi terbanyak
KUALA LUMPUR 24 Okt. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menganjurkan program pembacaan rangkap puisi 1Malaysia terbanyak tanpa henti selama 34 jam.
Program dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu merupakan satu sejarah dalam perkembangan seni tanah air dengan 10,118 rangkap puisi dibaca pelbagai lapisan masyarakat dan kaum.
Membabitkan 360 orang pembaca, program berkenaan yang dimulakan Jumaat lalu berakhir pagi ini merangkumi 35 genre puisi Melayu tradisional dan moden seperti pantun, syair, teromba, gurindam, seloka, nazam, talibun serta sajak.
Sijil MBOR untuk rekod terbaru itu disampaikan wakilnya, Zulhairi Md. Zin kepada Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) kementerian berkenaan, Datuk Dr. Rothiah Omar yang mewakili Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyempurnakan acara penutup program itu di PNM, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar.
Bertemakan 1Malaysia Sejuta Puisi, ia diadakan bertujuan menyemai semangat perpaduan seperti dikehendaki dalam gagasan 1Malaysia melalui pendekatan seni.
Terdahulu, dalam teks ucapan yang dibacakan Rothiah, Rais berharap penggunaan satu bahasa kebangsaan yang saling difahami semua perlu diberi keutamaan dalam menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Harus kita akui bahawa tiada bahasa lain yang mampu mengeratkan perpaduan selain bahasa Melayu. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun kerana sejarah membuktikan kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seluruh alam nusantara sejak beratus tahun dahulu.
"Tidak mustahil sejarah kegemilangan itu berulang kembali walaupun kini kita berada dalam zaman globalisasi. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik sekali gus membantu perkembangan seni puisi." katanya.
Menurut beliau, bahasa Melayu berupaya mentransformasikan pemikiran dan tindakan rakyat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan industri kreatif seperti yang diumumkan melalui Bajet 2011, katanya, diyakini dapat membantu penggiat seni puisi menjalankan program serta aktiviti kesenian lain.
Menurutnya, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah dengan memindahkan karya berbentuk puisi kepada filem, lagu atau diterbitkan dalam buku antologi puisi.
 Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment